Memperkasa sikap kesukarelawanan dalam kalangan belia



​​


Oleh: Khartini Hamir / Foto: Mohammad Azmi Awang Damit, Haji Ariffin Haji Mohd. Noor / Morshidi, Azmah Haji Ahad, Muhammad Asri Haji Awang Abas, Alishahrin Haji Mumin

 





BERAKAS, Isnin, 22 April. – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1445H/2024M merupakan sambutan untuk kali ke-20 ianya diadakan sejak acara tersebut mula dilaksanakan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) bermula pada tahun 2003.

 

Pada setiap tahun YSHHB telah mengetengahkan tema dan kategori peserta dari latar belakang yang berbeza.

 

Setiap kategori peserta yang dipilih adalah daripada kumpulan masyarakat yang telah dikenal pasti dalam menjana dan memacu kesejahteraan dan kepentingan agama, bangsa dan negara melalui peranan mereka masing-masing.

 

Perkara itu diketengahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB dalam sembah alu-aluannya di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran YSHHB Tahun 1445 Hijrah / 2024 Masihi di Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini, pagi tadi.

 

Yang Berhormat Pehin menyembahkan pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, tema Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini adalah 'Membudayakan Belia Pemedulian dan Prihatin' yang bertujuan untuk memupuk, membudayakan dan memperkasakan sikap kesukarelawanan dan kemasyarakatan di kalangan para belia.

 

Tema tersebut menitikberatkan keperluan untuk memupuk dan membudayakan sikap kesukarelawanan dan kemasyarakatan di kalangan para penuntut ke arah melahirkan modal insan yang holistik dan seimbang dari segala aspek hidup yang merangkumi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

 

“Disembahkan salah satu golongan belia yang diketengahkan untuk mendukung tema tersebut dan dijemput sebagai peserta pada majlis sambutan ini adalah terdiri daripada para penuntut daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan yang aktif dalam melaksanakan aktiviti kesukarelawan dan kemasyarakatan dalam apa jua bidang seperti kebajikan, keagamaan, keusahawanan, teknologi, alam sekitar, dan lain-lain," sembah Yang Berhormat lagi.

 

Yang Berhormat Pehin dalam sembahnya juga menggariskan seramai 750 orang pelajar daripada 12 buah institusi pengajian tinggi tempatan dan sebahagian lagi terdiri daripada sukarelawan belia dijemput hadir selaku peserta dan akan mempamerkan aktiviti-aktiviti kesukarelawan dan kemasyarakatan di majlis tersebut.

 

Juga ditampilkan ialah belia-belia yang pernah menerima anugerah-anugerah kebangsaan dan serantau di bidang kesukarelawan dan kemasyarakatan.

 

Keterlibatan para penuntut dalam program kesukarelawanan dan kemasyarakatan jelas Yang Berhormat lagi, ternyata mampu memperkasa kecerdasan rohani dan emosi mereka agar mempunyai semangat jati diri dan berdisiplin yang tinggi serta mempunyai nilai-nilai murni dan akhlak mulia sebagai anak Brunei pewaris bangsa yang bertanggungjawab dan tidak 'camah mata' dalam sama-sama membantu menangani isu-isu pembangunan sosial selari dengan 'pendekatan senegara' – atau 'Whole of Nation Approach' yang mantap.

 

Para penuntut juga tambahnya merupakan golongan belia yang berpendidikan yang merupakan aset bernilai negara yang bakal menerajui kepimpinan masa hadapan bagi menjana kemajuan pembangunan ugama, bangsa dan negara.

 

“Mereka ini, kita dan negara harapkan dapat memberikan contoh tauladan terbaik dan inspirasi kepada masyarakat umum," sembah Yang Berhormat Pehin.

 

Dalam sembah alu-aluannya juga, Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan antara pengisian atur cara majlis yang turut diserikan ialah acara persembahan yang disertai oleh seramai seratus 165 orang penuntut-penuntut dari Sekolah YSHHB.

 

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II dalam sembah alu-aluannya turut merafakkan sembah menjunjung kasih setinggi-tingginya ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri di atas limpah kurnia perkenan kedua-dua baginda bercemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran YSHHB yang penuh keberkatan dan keceriaan bersama Kerabat Diraja dan seterusnya berkenan untuk mengurniakan titah.

 

Seterusnya Yang Berhormat Pehin juga menyembahkan, sesungguhnya keberangkatan baginda berdua ke majlis ini berserta kerabat-kerabat diraja merupakan suatu kurnia yang sangat bermakna dan disanjung tinggi dalam memberikan suntikan semangat kepada 'abishamba' Kebawah Duli Tuan Patik di Yayasan Kebawah Duli Tuan Patik untuk mengungkayahkan majlis berkebajikan ini pada setiap tahun.

 

Limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berangkat ke majlis tersebut berserta Kerabat-kerabat diraja yang lain juga sembahnya, merupakan sesuatu yang amat bermakna dan istimewa bagi memberikan peluang keemasan kepada para peserta dan jemputan-jemputan lain untuk bersua muka, beramah mesra serta menjunjung ziarah ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai seorang raja berdaulat yang sangat dikasihi.

 

“Amat istimewa lagi dan sangat dinanti-nantikan adalah bagi mengamati, menghayati dan seterusnya menanai kurnia titah Kebawah Duli Tuan Patik yang penuh hikmah, nasihat dan panduan menjadi pemangkin semangat kepada 'abishamba' Kebawah Duli Tuan Patik dan hadirin dan hadirat lainnya dalam melaksanakan peranan masing-masing," sembah Yang Berhormat Pehin lagi.

 

Pada mengakhiri sembah alu-aluannya, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II sekali lagi menyembahkan ucapan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri bercemar duli ke majlis tersebut.

 

Di kesempatan itu juga, Yang Berhormat Pehin menjunjung perkenan Kebawah Duli Maha Mulia pada menyembahkan ucapan setinggi-tinggi menjunjung kasih ke hadapan majlis paduka-paduka anakanda baginda di atas kurnia perkenan di dalam sama-sama menjayakan penerbitan video khas sambutan kali ini dan juga di atas keberangkatan paduka-paduka anakanda dan adinda baginda ke majlis berkenaan.

 

Close